
Menunggu dalam Pemakanan Kanak-Kanak Boleh Menjadi Risiko
“Jangan Risau, Nanti Mereka Akan Kejar Balik…” — Menunggu dalam Pemakanan Kanak-Kanak Boleh Menjadi Risiko
Oleh Dr. Joann Rajah
Antara perkara yang paling kerap didengari daripada ibu bapa atau penjaga ialah, “Jangan risau, nanti dia akan kejar balik.” Sama ada si kecil enggan makan sayur, anak prasekolah terlalu bergantung pada makanan ringan, atau anak membesar yang sedikit ketinggalan dari segi berat atau tinggi, tanggapan umum ialah kanak-kanak akan “pulih sendiri” atau akan mengejar pertumbuhan mereka dengan masa.
Namun, apabila ia melibatkan pemakanan kanak-kanak, pendekatan “tunggu dan lihat” ini boleh membawa risiko sebenar. Tahun-tahun awal kehidupan—terutamanya dari lahir hingga umur lima tahun—merupakan tempoh kritikal dan tidak dapat diulang dalam perkembangan seseorang kanak-kanak. Ketika inilah otak berkembang paling cepat, sistem imun mula matang, dan tabiat kesihatan jangka panjang sedang dibentuk.
Perlu ditegaskan: pemakanan awal kanak-kanak bukan sekadar memastikan mereka kenyang atau cukup makan. Ia adalah tentang membina asas dalaman yang kukuh untuk pertumbuhan, pembelajaran dan kesejahteraan masa depan. Melambatkan tindakan atau mengandaikan anak akan pulih kemudian boleh membawa kesan yang sukar—atau tidak mungkin—untuk dibetulkan sepenuhnya.
Kenapa Pemakanan Awal Sangat Penting
Dalam lima tahun pertama, otak manusia berkembang dengan sangat pesat, membentuk lebih daripada 1 juta sambungan saraf setiap saat. Dalam masa yang sama, sistem imun sedang belajar mengenal pasti ancaman, mikrobiom usus sedang berkembang, dan hormon pertumbuhan aktif sepenuhnya.
Nutrien seperti zat besi, zink, asid lemak omega-3, kolina, dan vitamin A, D, dan B12 amat penting dalam proses ini. Tanpa bekalan nutrien yang mencukupi, perkara berikut boleh berlaku:
-
Pertumbuhan terbantut (stunting): Kekurangan zat yang kronik dalam usia awal menyebabkan kanak-kanak tidak mencapai ketinggian yang sepatutnya. Lebih dari sekadar isu fizikal, stunting dikaitkan dengan perkembangan kognitif yang lemah, prestasi akademik yang rendah, dan peluang ekonomi yang terhad apabila dewasa.
-
Kelaparan tersembunyi (hidden hunger): Kanak-kanak mungkin kelihatan sihat—malah sedikit berisi—tetapi sebenarnya kekurangan zat penting seperti zat besi, kalsium atau DHA. Kekurangan ini biasanya tidak disedari sehinggalah muncul tanda seperti kelewatan perkembangan atau masalah tingkah laku.
-
Imuniti lemah: Kanak-kanak yang kurang zat lebih mudah dijangkiti penyakit, lebih kerap sakit dan lambat sembuh, sekali gus mencetuskan kitaran “penyakit dan kekurangan nutrisi” yang berpanjangan.
-
Kesukaran belajar: Kekurangan nutrien semasa fasa perkembangan penting boleh menjejaskan memori, fokus, dan keupayaan belajar. Sebagai contoh, kekurangan zat besi dikaitkan dengan prestasi akademik yang lemah dan cabaran tingkah laku.
Apa Kata Kajian Klinikal?
Kajian-kajian saintifik semakin menunjukkan betapa kuatnya kaitan antara pemakanan awal dengan hasil kesihatan jangka panjang. Antara dapatan penting:
-
1,000 hari pertama—dari saat kehamilan hingga anak berumur dua tahun—merupakan tempoh paling penting dalam pembangunan otak dan sistem imun. Kekurangan nutrisi dalam tempoh ini boleh menyebabkan kerosakan yang tidak boleh dipulihkan.
-
Tabiat memilih makan (picky eating) yang tidak ditangani awal boleh berlarutan hingga ke zaman persekolahan dan menyebabkan ketidakseimbangan pemakanan jangka panjang.
-
Kanak-kanak yang tidak mendapat pemakanan seimbang sejak kecil berisiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit kronik seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung di kemudian hari.
Apa yang penting untuk difahami ialah kesan pemakanan tidak seimbang ini tidak selalu berlaku secara serta-merta. Kadangkala ia muncul secara halus—seperti kelewatan dalam kemahiran bahasa, kerap jatuh sakit, atau perubahan tingkah laku. Lama-kelamaan, ia boleh berkembang menjadi isu yang lebih serius.
Salah Faham Umum
Sebagai ibu bapa, adalah mudah untuk terperangkap dalam mitos yang kelihatan logik. Mari kita betulkan beberapa persepsi biasa:
“Anak saya montel, jadi mesti cukup zat.”
Tidak semestinya. Kalori berlebihan daripada minuman manis, makanan bergoreng dan makanan ringan boleh menyebabkan pertambahan berat badan tetapi masih kekurangan zat penting seperti zat besi, kalsium dan DHA.
“Dia cuma sedang fasa memilih makan. Nanti ok la tu.”
Betul, ramai kanak-kanak akan melalui fasa ini. Tapi jika ia berlarutan hingga bertahun dan melibatkan penolakan kumpulan makanan penting (seperti sayur atau protein), ia boleh menyebabkan jurang nutrisi yang serius. Tindakan awal dan lembut boleh bantu ubah tabiat sebelum ia berakar umbi.
“Saya dah beri vitamin, jadi tak apa.”
Suplemen hanya membantu menampung kekurangan tertentu, tapi tidak boleh menggantikan makanan sebenar yang kaya nutrien. Makanan sebenar mengandungi gabungan vitamin, mineral, serat dan bahan bioaktif yang tidak terdapat dalam pil.
Tip Pemakanan Praktikal untuk Ibu Bapa
Apa yang boleh ibu bapa lakukan untuk menyokong pemakanan sihat anak sejak awal? Berikut antara yang saya sarankan di klinik:
-
Pilih makanan sebenar: Buah, sayur, protein tanpa lemak, bijirin penuh dan lemak sihat.
-
Sajian seimbang: Pastikan setiap hidangan ada karbohidrat, protein, lemak sihat dan serat.
-
Lemak sihat untuk otak: Gunakan lemak sihat dari avocado, ikan berlemak, kekacang dan minyak zaitun.
-
Snek bijak: Gantikan makanan ringan dengan yogurt, potongan buah, telur rebus atau muffin buatan sendiri.
-
Jadual makan tetap: Elakkan “grazing” sepanjang hari. Tetapkan waktu makan dan snek.
-
Tunjuk contoh baik: Anak belajar daripada apa yang mereka lihat. Jika ibu bapa makan sihat, anak juga lebih mudah ikut.
-
Kurangkan minuman manis: Air kosong dan susu patut jadi minuman utama. Hadkan jus dan elakkan minuman bergula.
Bila Perlu Dapatkan Bantuan?
Jika anda risau anak tidak cukup makan, terlalu memilih makanan, kurang berat badan, atau sering sakit—jangan tunggu. Rujuk kepada pakar pediatrik atau pakar diet kanak-kanak. Penilaian awal boleh bantu cegah masalah jangka panjang.
Ibu bapa berasa lega apabila mendapat panduan yang jelas. Dengan pelan yang sesuai dan pemantauan berkala, kebanyakan kanak-kanak akan menunjukkan peningkatan ketara dari segi pertumbuhan dan tingkah laku.
Penutup: Mencegah Lebih Baik daripada Menyesal
Pemakanan bukan sekadar mengenyangkan perut. Ia adalah bahan bakar untuk tubuh, otak, dan masa depan anak kita. Setiap suapan adalah peluang untuk membina sistem imun yang kuat, minda yang tajam, dan asas kesihatan jangka panjang.
Jadi bila anda dengar, “Jangan risau, nanti dia kejar balik,” saya galakkan anda untuk berhenti sejenak dan fikirkan semula. Tindakan awal, walaupun kecil, boleh memberi impak besar kepada kehidupan anak anda.